Ahmad Zahid, isteri guna dana Yayasan Akalbudi bayar kad kredit lebih RM1.3 juta - Timbalan Pendakwa Raya

Bernama
Oktober 13, 2021 15:43 MYT
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan bagi kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kreditnya lebih RM1.3 juta yang digunakan untuk membeli-belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis membelanjakan lebih RM1.3 juta itu untuk membeli-belah dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata penggunaan kad kredit secara meluas bagi pembelian di gedung membeli-belah mewah di seluruh dunia dan dalam negara itu boleh dilihat melalui penyata bulanan kad kredit.
"Walaupun diakui, tabiat berbelanja tertuduh dan isterinya mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika mereka membeli-belah seperti di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes," katanya.
Raja Rozela berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada akhir kes pendakwaan terhadap Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Raja Rozela berkata saksi pendakwaan ke-10, Yeoh Eng Leong yang juga naib presiden kanan AmBank mengesahkan bahawa berdasarkan penyata kad kredit yang dikemukakan, jumlah pembayaran yang diterima bank dari Januari 2014 hingga Januari 2016 adalah sebanyak RM1,296,715.98.
"Dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak RM534, 412.52; RM708, 134.47 bagi Januari hingga Disember 2015 dan RM54,168.99 bagi Januari 2016.
"Saksi pendakwaan kesembilan, Anoop Singh Gulzara Singh, Naib Presiden Maybank (Pengurusan Penipuan dan Pertikaian Kad Kredit), mengesahkan penerimaan enam pembayaran berjumlah RM30,771.19 (antara Februari dan Oktober 2014), satu pembayaran pada Mac 2015 pada RM3,914.84, dan satu lagi pada Julai 2015 sebanyak RM30,635.80," katanya.
Raja Rozela berkata Ahmad Zahid juga menggunakan wang Yayasan Akalbudi untuk membayar cukai jalan dan insurans 20 kenderaan milik Ahmad Zahid dan tiga yang lain, isterinya, BZ Motors dan Juhari Janan, antara Januari dan September 2015.
"Jumlah yang terlibat adalah RM107,508.55 (pembelian insurans dan cukai jalan). Tidak ada kenderaan milik Yayasan Akalbudi," katanya.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan melibatkan12 bagi pertduhan CBT, lapan kes rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
#kes Zahid Hamidi #Yayasan Akalbudi #bayaran kad kredit #pengubahan wang haram
;