Ahmad Zahid dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka

Bernama
Oktober 18, 2015 09:48 MYT
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob (kanan) mengurniakan Darjah Utama Negeri Melaka, yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka membawa gelaran Datuk Seri Utama daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Penganugerahan darjah tertinggi Melaka itu diadakan pada istiadat khas di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di sini dan penganugerahan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-77 Mohd Khalil.
Pada istiadat sama, Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Melaka Datin Seri Fadilah Abdullah yang juga isteri Ketua Menteri Melaka menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka, membawa gelaran Datuk Wira.
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Ahmad Zahid mendahului senarai 760 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka 2015 sempena sambutan ulang tahun ke-77 Mohd Khalil pada 9 Okt lepas.
#Ahmad Zahid Hamidi #anugerah #Datuk Seri Utama #Melaka #Tun Mohd Khalil Yaakob