Ahmad Zahid dalam tempoh berehat sebelum kembali bertugas
Bernama
November 23, 2023 19:13 MYT
November 23, 2023 19:13 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau kini dalam tempoh berehat seperti yang dinasihatkan oleh doktor, sebelum kembali bertugas.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu perkara itu menerusi catatan di Facebook hari ini .
Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
"Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan serta menempatkan kita semua dalam rahmat dan kasihNya. Aamiinn," katanya.
Pada Ahad anak Ahmad Zahid, Datuk Nurul Hidayah memberitahu keadaan kesihatan bapanya baik selepas selesai menjalani satu prosedur pembedahan Khamis lepas.
-- BERNAMA