Ahmad Zahid cabar anak muda Malaysia kerja 3D jika tolak kemasukan pekerja asing

Rahimah Abdullah
Februari 14, 2016 13:19 MYT
AHMAD ZAHID: Realitinya, ekonomi perlu dibangunkan sekali gus banyak sektor industri memerlukan tenaga kerja. -Gambar Astro AWANI/Rahimah Abdullah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia dan anak muda Malaysia untuk bekerja dalam sektor 'Dirty, Difficult and Dangerous' atau 3D jika mereka menolak kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Tegasnya, jika perkara itu mampu dilakukan, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing termasuk warga Bangladesh.
"Pekerja-pekerja dicadangkan supaya dihantar balik, siapa setuju? Pekerja-pekerja asing yang nak masuk jangan dibenar masuk? Saya minta belia-belia kerja ambil buah di ladang-ladang, setuju? Tidak mahu, kan?
"Saya minta bagi pekerja kontrak (pada belia) buat bangunan semua kata setuju? Semua kata no (tidak). Saya minta belia kerja di kilang yang berpanas, setuju? Saya minta sapu sampah seluruh jalan di Malaysia, setuju? Saya minta cuci longkang seluruh negara, setuju?
"Saya cabar belia untuk ceburi bidang apa sahaja dilakukan pekerja asing. Kita ambil alih kerja mereka dan kita tolak pekerja asing, setuju?"
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya di hadapan hampir 1,000 anggota Majlis Belia Selangor semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan badan itu di Intekma Resort di sini hari ini.
Tegas beliau, realitinya, ekonomi perlu dibangunkan sekali gus banyak sektor industri memerlukan tenaga kerja.
"Yang membawa pekerja ini bukan kerajaan tapi majikan, kilang-kilang, dan syarikat, bukan kerajaan. Apa pilihan mereka? Jadi ambillah kerja saya sebut tadi.
Malah, menurut Ahmad Zahid, sikap memilih kerja menyebabkan majikan terpaksa menggaji pekerja asing untuk sektor 3D.
"Sikap memilih kerja ini menyebabkan banyak kelapa sawit yang tidak dikutip dan dituai, belia Selangor tidak mahu. Longkang tidak dicuci, jalan tidak disapu, bangunan tidak ada orang mahu kerja. Apa jawapan dia?
"Ada tenaga kerja berkemahiran, separa mahir dan tidak mahir. Semuanya perlu. Kita mahu bidang pekerjaan termasuk 3D kepada rakyat Malaysia, tetapi berapa ramai sanggup bekerja dalam 3D."
Justeru dengan pendedahan itu, Ahmad Zahid mempersoalkan apakah pilihan yang majikan ada jika usaha mengambil pekerja tempatan gagal kerana mereka tidak berminat sektor pekerjaan seumpama itu.
"Apa pilihan yang mereka ada? Sama ada tutup kilang atau mengambil pekerja asing," kata beliau.
#Ahmad Zahid Hamidi #bekerja dalam bidang 3D #belia dan anak muda Malaysia #Dirty Difficult and Dangerous #Majlis Belia Selangor #tolak kemasukan pekerja asing
;