Ahmad Zahid berjumpa Ferdinand Marcos Jr, komited kukuhkan kerjasama bilateral dengan Filipina

Firdaus Azil
Oktober 14, 2024 22:08 MYT
Malaysia mempunyai komitmen jitu untuk memperkukuh kerjasama bilateral dengan Filipina, seiring persediaan Malaysia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto: Pejabat TPM
MANILA: Malaysia mempunyai komitmen jitu untuk memperkukuh kerjasama bilateral dengan Filipina, seiring persediaan Malaysia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkongsian di laman media sosialnya, beliau berkata, perkara itu disampaikannya sewaktu melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr, sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu.
Ahmad Zahid berkata, mereka turut mengintai ruang dan peluang ke arah meningkatkan kerjasama dalam industri halal, terutama membabitkan langkah memperluas usaha pensijilan halal dan meneroka peluang pertumbuhan perdagangan halal baharu, termasuk sektor pelancongan halal.
"Perbincangan hari ini turut menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memacu pertumbuhan ekonomi. Dalam hal ini, Malaysia amat berminat untuk menjalin kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina (TESDA), terutama membabitkan perkongsian kepakaran dan amalan baik.
"Menyedari kepentingan pengurusan bencana, kami turut membincangkan potensi inisiatif latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi-agensi berkaitan di Filipina untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bersama," katanya lagi.
Selain itu Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga komited untuk memberikan bantuan kepada Filipina ketika menghadapi bencana.
Dalam pada itu Bernama melaporkan, Ahmad Zahid akan menyampaikan kenyataan negara di Persidangan Peringkat Menteri Asia-Pasifik ke-10 bagi Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Manila, Filipina pada Selasa.
Ahmad Zahid yang berada di Filipina sempena lawatan tiga hari telah mempengerusikan sesi 'pre-council' bersama delegasi Malaysia sejurus tiba di negara itu hari ini.
"Saya turut mendengar taklimat disampaikan oleh Datuk Abdul Malik Melvin Castelino, Duta Besar Malaysia ke Filipina tentang perjalanan sepanjang lawatan kerja saya di sini.
"Sepanjang perbincangan, saya menekuni agenda dan menyelaraskan keutamaan diplomatik, terutamanya dalam pengurusan bencana. Tumpuan saya adalah untuk merancang strategi bersesuaian dan memastikan kerjasama serantau ditingkatkan," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Delegasi Malaysia ke mesyuarat itu termasuk Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berharap lawatan berkenaan dapat memantapkan hubungan serantau dan menjadi platform untuk bertukar pandangan serta pengalaman demi memastikan komuniti lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi risiko bencana.
Difahamkan Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan negara berhubung inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030.
#Zahid Hamidi #NADMA #pengurusan bencana #Filipina
;