Ahmad Terrirudin mulakan tugas rasmi sebagai Peguam Negara

Sinar Harian
September 6, 2023 09:00 MYT
Ahmad Terrirudin mendaftar masuk kehadiran di lobi AGC pada Rabu. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: "Insya-ALLAH saya akan tunaikan amanah ini sebaik mungkin," kata Peguam Negara yang baharu dilantik, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Terdahulu, beliau memulakan tugas rasminya pada pagi Rabu dengan melakukan daftar masuk kehadiran menerusi sistem dalam talian sebaik tiba jam 8.15 pagi.
Kehadirannya disambut oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Almalena Sharmila Johan serta ketua-ketua bahagian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ahmad Terrirudin, 55, dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memperkenankan lantikannya.
Pelantikan Ahmad Terrirudin dibuat bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Ia sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai jabatan tersebut.
Sebelum ini tiga penyandang terdiri daripada orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Tan Sri Idrus Harun yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.
Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015. - Sinar Harian
#Ahmad Terrirudin Mohd Salleh #Peguam Negara #baharu dilantik #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
;