Ahmad Shabery: Pendedahan arkitek dedah pembohongan pembangkang

Bernama
Julai 28, 2013 09:55 MYT
Pendedahan arkitek yang terlibat secara terus dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis menutup dongeng yang dicanang pihak pembangkang menerusi Suaram.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pendedahan itu adalah sesuatu yang besar dan bercanggah dengan cerita dongeng rekaan pihak tertentu yang 'lapar' untuk mendapatkan kuasa dalam negara ini.
Beliau berkata pendedahan Jasbir Singh Chahl, arkitek pembelian kapal selam itu dalam usaha memodenkan sistem pertahanan negara, adalah sesuatu yang cukup besar dan bererti kepada semua.
"Cerita-cerita dongeng itu, ditambah lagi dengan kononnya mereka sekarang mengadakan kutipan wang untuk membiayai peguam tertentu bagi membawa perkara ini dalam sistem perundangan di Perancis.
"Bagi saya, kalau mereka nak buat, buatlah. Kalau siapa nak bagi... nak habis duit untuk memperkayakan peguam itu, itu hak mereka. Tetapi rakyat jangan ditipu dalam soal ini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas pendedahan berkenaan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Terdahulu, Ahmad Shabery menyempurnakan majlis Tamu Ramadan dengan menyerahkan sumbangan kepada 261 imam dan bilal 49 masjid dalam Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran di sini.
Beliau berkata rakyat sepatutnya menolak pembohongan dan menghargai penjelasan kerajaan sebelum ini.
"Isu Scorpene telah dijelaskan dalam Dewan Rakyat. Bila minta sumpah, Perdana Menteri kita sanggup bersumpah, sedangkan pihak berkenaan tidak berani bersumpah apabila diminta untuk menjawab tuduhan berkaitan. Ini juga perlu kita lihat dan mengadili sebaik-baiknya apa yang berlaku," katanya.
Ahmad Shabery juga berkata pembelian kapal selam ini merupakan satu kontrak besar untuk negara dan semestinya kerajaan akan mengaudit dengan baik bagi mengelak berlaku penyelewengan.
"Kapal selam ini bukan satu perkara yang boleh kita ke kedai kapal selam nak pilih mana kapal selam yang dah siap. Ia berdasarkan kepada kontrak, dan kalau dipersetujui, baru boleh dibina.
"Ia bukan sekadar kapal tetapi peralatan sistem di dalamnya yang canggih dari segi elektronik dan radar untuk melawan serangan dalam konteks perang komputer lawan komputer," katanya.
#Ahmad Shabery Cheek #Scorpene #SUARAM
;