Ahmad Shabery pamer kemahiran guna media sosial

Bernama
November 22, 2014 23:17 MYT
AHMAD SHABERY: Pada zaman digital ini, seseorang pemimpin perlu membina kemahiran kritikal untuk meluaskan komunikasi, menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi orang ramai - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Sabtu mempamerkan kemahiran beliau menggunakan pelbagai aplikasi media sosial ketika berucap pada program 'ala syarahan' di hadapan 240 pelajar universiti.
Selain mengemas kini syarahan interaktif beliau selama hampir empat jam itu secara 'langsung' melalui aplikasi 'telegram', Ahmad Shabery yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Kelab Umno Luar negara, turut memuat naik status dalam akaun Facebooknya dan menyiarkan catatan melalui Twitter mengenainya secara langsung pada layar gergasi.
Kedua-dua catatan beliau 'Ada ahli parlimen tak tau bila hari Merdeka dan bila hari Malaysia. Patutkah syarat jadi calon kena lulus ujian kenegaraan? #Pemanas' mendapat lebih 6,000 'like' dan lebih 700 retweet, hanya dalam tempoh setengah jam.
Sambil menegaskan bahawa kemudahan itu patut dimanfaat dengan sepenuhnya, Ahmad Shabery berkata aplikasi media sosial yang wujud hasil daripada 'kesalinghubungan hiper' yang ada sekarang, boleh sampai kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia dan kepada kelompok manusia dalam jumlah yang besar.
"Pada zaman digital ini, seseorang pemimpin perlu membina kemahiran kritikal untuk meluaskan komunikasi, menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi orang ramai," katanya pada program itu, yang diadakan sempena Persidangan Kepimpinan Pelajar Kebangsaan 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Pada program itu, beliau secara bersendirian menjadi hos beberapa kegiatan berkaitan media sosial untuk pelajar universiti tempatan dan luar negara.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita kemudian, Ahmad Shabery berkata kebijaksanaan amat diperlukan apabila menangani pelbagai mesej melalui spektrum begitu luas.
"Macam sekarang ini, sembang-sembang di kedai kopi, tak habis di situ sahaja, tetapi bersambung dengan begitu besar sehingga satu dunia (melalui media sosial).
"Sebab itu, perlunya kepada kebijaksanaan kita menilai, ini perkara yang perlu diberi pemahaman," katanya.
#Ahmad Shabery Cheek #media sosial #Menteri Komunikasi dan Multimedia
;