Ahmad Said sedia bantu siasatan 1MDB
Astro Awani
Mei 14, 2018 08:17 MYT
Mei 14, 2018 08:17 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said sedia tampil bagi membantu siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas menteri besar Terengganu itu bersedia memberi keterangan berhubung kes yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Ya, Terengganu Invesment Authority (TIA) saya yang tubuhkan. Saya yang tahu perjalanannya, apa masalahnya, dan sebagainya. Saya dulu pernah dipanggil ketua audit negara. Saya beri taklimat apa yang berlaku.
"Dan sekarang, kalau saya diminta sebagai saksi, sama ada ditubuhkan suruhanjaya diraja, saya bersedia bila-bila masa memberi keterangan. Saya tak boleh sembunyikan sesuatu. Saya tahu perjalanannya macamana," katanya.
1MDB bermula sebagai Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.
Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.
Najib ketika itu berkata keputusan untuk membesarkan peranan TIA kepada entiti persekutuan dibuat untuk menambah baik nilai keberhasilan jika dibandingkan dengan faedah dalam sesebuah negeri sahaja.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas janji Pakatan Harapan yang berikrar mahu menyelesaikan beberapa skandal utama negara, termasuk kes 1MDB.
Perkara itu termasuk dalam 10 aku janji yang akan dilakukan dalam masa 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan ke arah Malaysia baharu.