'Ahmad Nawab ibarat bapa saya' - Ramlah Ram

Ridauddin Daud
November 25, 2024 13:39 MYT
Ramlah Ram menceritakan jasa Allahyarham Ahmad Nawab kepadanya, ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
GOMBAK: Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab bukan sahaja dianggap sebagai guru malah umpama bapa kepada penyanyi, Ramlah Ram.
Beliau yang ditemui ketika menghadiri perjalanan terakhir maestro muzik tanah air itu di Gombak kelihatan sebak sepanjang masa, berkali-kali juga mengesat air matanya yang langsung tidak dapat ditahan daripada gugur.
Menurut Ramlah, beliau sememangnya terhutang budi dengan Allahyarham.
Tambahnya, tanpa gubahan daripada Ahmad Nawab, beliau tidak mungkin mengecapi kejayaan seperti sekarang dan menurutnya, banyak kejayaan besar beliau adalah ketika bersama Allahyarham.
“Rasa pemergian itu kehilangan sangat buat saya. Sebab dari awal, saya dari kampung. Masa saya banyak dengan dia (membina karier).
“Dialah guru saya, dialah bapa saya, dia yang ambil berat tentang saya. Ada banyak rakaman, semua orang tahu dari awal lagu saya, lagu arwah.
“Bukan setakat nyanyi saja. Pengalaman hidup, saya belajar hidup di KL banyak dengan dia. Jadi banyak benda yang saya kongsi dengan dia,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah pelantun lagu Kau Kunci Hatiku Dalam Hatimu itu, negara kehilangan permata yang sangat besar dengan pemergian Ahmad Nawab.
“Dia tiada gantinya. Kehilangan permata yang sangat besar, tiada penggantinya
“Lagu dia lahir dari jiwa dia. Saya nyanyi banyak lagu tapi tak sama dengan lagu yang dia gubah,” ujarnya.
#Ahmad Nawab #meninggal dunia #Ramlah Ram #mengenang Ahmad Nawab
;