Ahmad Maslan ditegur ahli UMNO, diminta fokus isu rakyat

Azyyati Ahmad
Januari 20, 2021 12:34 MYT
Menurut Gulam, Ahmad Maslan tidak perlu mengeruhkan keadaan tetapi lebih wajar membantu rakyat yang memerlukan seperti mangsa COVID-19 dan mangsa banjir. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan digesa untuk fokus kepada isu-isu rakyat dari hal darurat yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Teguran itu datang dari Setiausaha Bahagian UMNO Batu Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang menyifatkan Ahmad Maslan cuba untuk mempolemikkan isu darurat.
Kata Gulam, kenyataan kontroversi Ahmad Maslan sebelum ini menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap UMNO.
“Sebelum ini UMNO telah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan darurat, oleh itu tak payah nak polemikkan dan desak-desak lagi hal darurat ini. Macam hari itu dah bagus turun padang bantu mangsa-mangsa banjir di Pahang... teruskan dan perhebatkan lagi.
“Kenyataan-kenyataan kontrovesi Setiausaha Agung UMNO ini, buat rakyat bertambah benci dengan UMNO lagi, kita yang di bawah dok sibuk hal bantu rakyat masa PKP-COVID19 dan banjir ni, (Ahmad Maslan) mengeruhkan keadaan dengan kenyataan kontroversinya.
"Isu PHD-lah, parut kelapa lah, sidang Dewan Rakyat lah.. penatlah nak menepis persepsi isu-isu ini kat rakyat,” kata Gulam dalam kenyataannya.
BACA: 'Tidak perlu PhD untuk tahu rakyat susah' - Syed Saddiq bidas Ahmad Maslan
BACA: "Ke pasar raya boleh, kenapa mengundi dengan SOP ketat tidak boleh?" - Ahmad Maslan
BACA: Surat Ahmad Maslan cubaan derhaka kepada Agong - Annuar
Katanya, sepatutnya Ahmad Maslan tidak perlu mengeruhkan keadaan tetapi lebih wajar membantu rakyat yang memerlukan seperti mangsa COVID-19 dan mangsa banjir.
Yang penting ketika ini tegas Gulam, Ahmad Maslan seharusnya memikirkan strategi untuk menguatkan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahmad Maslan sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan beberapa kenyataan yang dilihat menimbulkan kemarahan ramai
#Ahmad Maslan #UMNO #pilihan raya umum #COVID-19 #mangsa #mangsa banjir #Gulam Muszaffar
;