Ahmad Idham mahu jadikan PD lokasi perintis Hab Pendidikan Khas

Sinar Harian
Oktober 29, 2022 16:24 MYT
Ahmad Idham menunjukkan cara solat kepada Luqman Hakim yang menghidap cerebral palsy. - Sumber foto Sinar Harian
PORT DICKSON: Menjadi hasrat pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nazri untuk menjadikan Port Dickson sebagai lokasi projek perintis Hab Pendidikan Khas yang dikendalikan dalam bentuk lebih sistematik dan tersusun.
Menurutnya, Port Dickson dipilih kerana beliau mendapat sokongan baik daripada komuniti setempat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Gerakan Tanah Air (GTA).
"Saya bermula di Ampang, Kuala Lumpur tapi waktu itu saya bergerak di bawah parti, namun buat keputusan bergerak sendiri di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Briged Prihatin kerana kecewa parti tidak membantu usaha saya memasyarakatkan anak istimewa.
"Selepas itu saya bergerak di Perak tetapi hanya beberapa bulan saja kerana tidak mendapat sistem sokongan yang baik daripada komuniti setempat sebelum bermula di Port Dickson sejak Ogos lalu," katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Teluk Kemang di sini pada Sabtu.
Ujarnya, usaha dilakukan bertujuan membentuk satu komuniti yang jitu, peka dan prihatin terhadap komuniti istimewa sekali gus bagi memastikan kelompok itu tidak rasa terpinggir.
Jelasnya, tanpa sokongan daripada semua pihak, ia sukar dilaksanakan sekali gus membuatkan segelintir masyarakat terus skeptikal terhadap anak-anak istimewa.
"Saya dah melawat tujuh Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini (Port Dickson) tapi saya dapati latihan dan modul pendidikan disediakan perlu ditambah baik.
"Antara modul paling penting yang perlu diadakan ialah memasyarakatkan anak-anak istimewa ini dengan kemahiran kehidupan seharian supaya apabila dewasa nanti, mereka tidak takut dan sudah biasa dengan masyarakat," katanya.
Ahmad Idham berkata, PDK juga tidak seharusnya dijadikan sebagai tempat penjagaan semata-mata.
"Saya tak nafikan kerajaan tidak pinggirkan anak-anak istimewa ini tapi pengisian pendidikan untuk mereka perlu ditambah baik.
"Sebagai bapa yang ada anak istimewa, saya nak ambil penyertaan untuk membantu memberi kesedaran kepada semua pihak supaya dalam soal membantu kelompok ini, kita perlu serius dan dilakukan secara komuniti," katanya.
Beliau sebelum itu hadir pada Program Terapi Istimewa anjuran Masjid Kariah Teluk Kemang dengan kerjasama Pertubuhan Bridged Prihatin di bawah Program Pemerkasaan Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham.
Pada program itu, seramai 20 anak istimewa daripada pelbagai kategori diberi pendidikan tentang solat.
Sementara itu ibu kepada peserta, Marina Lamudin, 44, menyifatkan program itu amat bermanfaat kepada anaknya, Hadif Putra Arrayyan Nor Ahmad Yusri, 10, yang menghidap cerebral palsy.
"Saya dan suami pun jarang nak bawa dia pergi masjid, takut menganggu jemaah lain kerana keadaan dia begitu tapi bila ada program begini khusus untuk anak-anak istimewa, dia dapat satu persekitaran baharu," katanya.
Noraini Zulkifle, 38, pula, berkata, meskipun anaknya orang kurang upaya (OKU) cerebral palsy, namun aspek pendidikan agama tetap diberi perhatian.
Jelasnya, sejak berusia empat tahun, anaknya Luqman Hakim Zulkiflly, 15, telah dibawa ke masjid bagi mendedahkannya dengan program keagamaan.
"Bagi saya usaha dilakukan oleh Dr Ahmad Idham ini baik kerana ia membuatkan anak-anak istimewa ini tidak rasa terpinggir," katanya.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#Ahmad Idham Ahmad Nazri #Port Dickson #Gerakan Tanah Air #Program Pemulihan Dalam Komuniti
;