Ahmad Fuzi angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 1, 2021 13:22 MYT
Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan di Dewan Sri Pinang, Georgetown pada Sabtu. - Gambar BERNAMA
GEORGE TOWN: Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.
Istiadat angkat sumpah jawatan bermula pukul 10 pagi Sabtu.
Bekas diplomat itu menerima watikah pelantikan Yang DiPertua Pulau Pinang daripada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Ahmad Fuzi mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah itu dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar
Majlis angkat sumpah itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Dato Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Ahmad Fuzi kemudian beredar meninggalkan majlis dan dijadual menghadiri majlis serah tugas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Sri Mutiara.
Terdahulu, Ahmad Fuzi memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Muhammad Farhan Abdul Razak.
Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan semasa upacara Kawalan Kehormatan Utama (KKU) menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja
Turut hadir isteri Ahmad Fuzi, Toh Puan Khadijah Mohd Nor.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri.
Ahmad Fuzi, 72, yang juga anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang, menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga tahun 2009.
Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa selain terlibat dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Sidang Kemuncak ASEAN.
#Ahmad Fuzi Abdul Razak #Yang Dipertua Negeri #pulau pinang #angkat sumpah #Abdul Rahman Abbas
;