Ahmad Bashah mula bertugas hari ini sebagai MB Kedah
Astro Awani
Februari 7, 2016 11:17 MYT
Februari 7, 2016 11:17 MYT
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar pada Ahad di Wisma Darul Aman.
Ahmad Bashah yang tiba jam 7.50 pagi, disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, pegawai kanan serta kakitangan pejabat Menteri Besar.
Ahmad Bashah merakamkan kehadiran beliau pada pukul 7.59 pagi dan kemudian diperkenalkan kepada kira-kira 15 kakitangan sebelum dibawa masuk ke pejabat Menteri Besar.
Terdahulu, Ahmad Bashah bersama pegawai dan kakitangan di Wisma Darul Aman mengadakan bacaan doa di pintu masuk pejabat menteri besar sebagai tanda kesyukuran.
Ahmad Bashah akan meneruskan program pelancongan seperti Discover Kedah 2016 dan projek pembangunan yang dirancang Menteri Besar terdahulu, selagi ia memberi kebaikan kepada rakyat.
Beliau berkata, tiada sebab untuk projek pembangunan yang bermanfaat disekat kerana ia adalah untuk kepentingan negeri dan rakyat Kedah sendiri.
“Bagi saya, kalau program itu telah dirancang, buat apa kita hendak tamatkan di tengah jalan. Itu adalah untuk kebaikan negeri jadi saya akan teruskan. Tiada niat untuk menggagalkan apa yang telah dibuat oleh Menteri Besar yang lalu,” ujar beliau yang akan melihat sebarang sudut untuk penambahbaikan.
Beliau mengangkat sumpah Menteri Besar Kedah Ke-12 pada Rabu lepas di Istana Anak Bukit selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir melepaskan jawatan itu ekoran tidak lagi mendapat kerpercayaan majoriti di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.
Ahmad Bashah merupakan antara pemimpin Umno negeri paling kanan apabila menjadi anggota Adun Bakar Bata untuk lima penggal sejak 1995.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Ahmad Bashah dilantik Senator dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.