Ahmad Bashah jalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang
Bernama
Jun 6, 2016 16:31 MYT
Jun 6, 2016 16:31 MYT
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dirawat di Kedah Medical Centre (KMC) sejak Sabtu lalu bagi komplikasi usus, hari ini dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang.
Beliau dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang pada kira-kira 2.30 petang, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
"Hospital tersebut mempunyai kelengkapan yang lebih terkini dan lengkap dan beliau juga akan dirawat oleh pakar yang lebih khusus," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Bashah pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Hotel Grand Alora di sini kira-kira pukul 7 malam Sabtu, sebelum dikejarkan ke KMC pada 7.15 malam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din dalam sidang media semalam berkata menteri besar disahkan mengalami komplikasi usus namun tidak serius dan berada dalam keadaan stabil.
Shaiful Hazizy berkata keadaan menteri besar adalah amat baik dan positif, serta meminta pihak tertentu agar tidak membuat sebarang spekulasi liar mengenai kesihatan beliau.
"Media juga dinasihatkan menerima perkembangan daripada saluran rasmi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri Besar sahaja," katanya dalam kenyataan itu.