Ahmad Badri dilantik Ketua Setiausaha Perbendaharaan baharu

Bernama
September 12, 2018 10:19 MYT
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir berkuat kuasa hari ini. - Foto Bernama
Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulai 12 Sept (hari ini), demikian umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar.
Ahmad Badri, 58, yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, menggantikan Ismail, yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 29 Ogos lepas.
Ismail dalam satu kenyataan hari ini berhubung pelantikan itu berkata Ahmad Badri berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan menerusi karier perkhidmatannya.
"Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan untuk meneruskan visi Kementerian Kewangan sebagai peneraju strategik keberhasilan kewangan dan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan mampan demi kemakmuran negara," kata Ismail.
Ahmad Badri sebelum ini juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Pembiayaan, Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan.
Ahmad Badri telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun apabila mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1 Ogos 1989.
-- BERNAMA
#Ahmad Badri Mohd Zahir #ismail bakar #Kementerian Kewangan #Ketua Setiausaha Perbendaharaan #KSU