Ahli Puspanita diseru hayati konsep rahmah dan ihsan - Dr Wan Azizah
Bernama
April 11, 2023 15:19 MYT
April 11, 2023 15:19 MYT
PUTRAJAYA: Ahli-ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dan rakyat Malaysia diseru untuk menghayati dan mengamalkan konsep rahmah dan ihsan dalam kehidupan seharian, kata Penaungnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Tazkirah dan Khatam al-Quran 'Kasih Puspanita 1444 Hijrah' di sini hari ini, beliau berkata konsep rahmah dan ihsan dapat menunjukkan ukhuwah dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
"Satu daripada konsep di bawah Malaysia MADANI kita ada rahmah dan ihsan. Bukan saja kita dapat menimba ilmu dan menambahkan pendapatan, namun kita kongsikan bersama (konsep rahmah dan ihsan) seperti bagaimana kita melihat jiran kita atau persekitaran kita dan kita jaga sama-sama.
"Rahmah tu macam nak tolong terutama jiran, (kerana) jiran ada hak ke atas kita sebagai orang Islam," katanya.
Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Norizam Che Mohd Nor.
WAN AZIZAH-PUSPANITA 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Terdahulu semasa berucap, Dr Wan Azizah berkata objektif majlis hari ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta untuk membaca dan menghayati tafsir dan tadabbur ayat al-Quran yang dibaca.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan kebajikan Rahmah Puspanita kepada 135 penerima terdiri daripada ahli Puspanita, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, wakil taska dan tadika Puspanita, pelajar maahad tahfiz serta wakil pertubuhan dan rumah kebajikan.
Majlis yang disertai kira-kira 630 ahli Puspanita itu turut diserikan dengan pameran al-Quran terpanjang di dunia yang dibawa khas dari China melalui kolaborasi strategik Cheng Ho Multi Culture Education Trust.
-- BERNAMA