Ahli politik tidak sepatutnya main isu kalimah Allah -Dr Chua

Bernama
Januari 8, 2014 08:00 MYT
Chua Soil Lek - Gambar Fail
Bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melahirkan kekecewaan dengan pendirian diambil ahli politik kerajaan dan pembangkang mengenai isu penggunaan kalimah Allah.
Beliau berkata penggunaan kalimah Allah tidak pernah menjadi isu sejak merdeka sehinggalah akhir-akhir ini, dan orang ramai sedar kalimah itu telah digunakan oleh bukan Islam di banyak kawasan di dunia.
"Bagaimanapun, di Malaysia, perlu lihat kepada perspektif tempatan sebagai sebuah negara yang penduduknya menganut pelbagai agama dan sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Kami juga sedar kalimah Allah dicabar di mahkamah dan mahkamah hanya boleh membuat keputusan mengenai aspek perundangan," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.
"Demokrasi memerlukan kedaulatan undang-undang dan hormat-menghormati, dan pada masa yang sama tidak sepatutnya berlaku kekejaman di pihak majoriti," katanya.
Pada 27 Dis lepas, Paderi Lawrence Andrew, pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald', berkata gereja-gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah "Allah" dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Malaysia meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.
Pada November lepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan ketua agama Islam di Selangor telah menitahkan semua rakyat di negeri itu perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti termaktub dalam Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
"Oleh kerana JAIS terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, Pakatan Rakyat bertanggungjawab sepenuhnya ke atas serbuan oleh JAIS dan tidak sepatutnya menyerahkan isu itu kepada polis atau pejabat perdana menteri," kata Dr Chua.
Mengenai tindakan tiga wakil rakyat DAP Selangor, Yeo Bee Yin (Damansara Utama), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku) mencadangkan enakmen itu dipinda dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr Chua berkata tindakan itu hanya akan mencetuskan masalah lebih serius dan bukannya menyelesaikan masalah.
"Mana-mana pihak tidak patut menggunakan faktor agama sebagai cara untuk meraih sokongan politik.
"Sekiranya tindakan JAIS merupakan satu penyalahgunaan kuasa, kerajaan negeri yang perlu memgambil tindakan," katanya.
#Allah #Dr Chua Soi Lek #mahkamah #pembangkang
;