Ahli politik perlu buka ruang perbincangan, utamakan rakyat dan negara - Pakar

Fareez Azman
Ogos 14, 2021 17:03 MYT
Profesor Mohd Kamarulnizam berkata ruang perbincangan diantara ahli politik adalah langkah terbaik untuk memastikan fokus menentang COVID-19 diteruskan dan tidak terganggu.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua ahli politik di negara ini seharusnya membuka ruang perbincangan dan bekerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 sekali gus menghentikan perbalahan politik yang sedang berlaku ketika ini.
Menurut Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Kamarulnizam Abdullah, ia adalah langkah terbaik untuk memastikan fokus menentang COVID-19 diteruskan dan tidak terganggu.
"Tidak kira dimana kita datang sama ada kerajaan dan parti pembangkang, mereka perlu duduk semeja dan ini bukan masa untuk mempolitikkan isu.
"Saya adalah di kalangan masyarakat sudah kecewa dengan apa yang berlaku. Saya rasa majoriti masyarakat sudah terkesan dengan perkara ini, mereka merasakan politik ketika ini hanya mengenai kuasa.
"Tidak ada siapa mahu mengalah, bagi saya strategi keluar daripada pandemik ini bukan dengan menukar kerajaan, dimana kedua-dua pihak perlu duduk bersama untuk memastikan bahawa kebajikan masyarakat, rakyat itu terjamin.Mungkin kita katakan kerajaan ini dah terlalu lambat, tidak ada istilah terlalu lambat dalam mengatasi masalah COVID-19," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam pada itu, jelasnya pihak pembangkang juga diminta agar tidak mengeruhkan lagi keadaan serta ketidakkeruan sistem politik negara.
"Saya meminta pembangkang tidak menggunakan isu menyebabkan ketidakkeruan sistem politik kita, akhirnya perkara ini sebenarnya siapa ahli politik ingin berkhidmat? Sudah tentu rakyat.
"Jadi jika mereka tidak duduk bersama mengatasi masalah ini, bagi saya kita akan berhadapan politik huru-hara dan kita takkan dapat menyelesaikan apa yang kita hadapi sekarang ini," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai isu keabsahanan, jelas Prof Mohd Kamarulnizam, kerajaan minoriti adalah suatu yang asing di negara ini.
Tujuh tawaran Perdana Menteri sekiranya persetujuan bipartisan dicapai
Bagaimanapun, beberapa negara juga berdepan dengan isu yang sama, namun kerajaan minoriti tetap berjalan apabila mendapat kerjasama dengan pihak pembangkang demi menyelesaikan isu pandemik COVID-19.
"Dalam konteks pembangunan Malaysia, kerajaan minoriti adalah sesuatu yang asing. Ini pertama kali berlaku, kalau kita lihat di Australia, Belgium, Kanada, Denmark, kerajaan minoriti itu adalah satu norma yang biasa mereka hadapi.
"Malah politik di Jerman sebanyak 31 kali, kerajaan Jerman dalam bentuk minoriti. Apabila timbul di Malysia, pengalaman tidak ada seolah-olah kerajaan minoriti itu wujud, maka keabsahan dipertikaikan.
"Saya rasa itu bukan isunya, bagi saya bagaimana kerajaan minoriti boleh berfungsi dengan gabungan bipartisan itu bagi memastikan perjalanan negara itu berjalan," katanya lagi.
[TERKINI] Ucapan Khas Perdana Menteri | 13 Ogos 2021
#Australia #Astro Awani #Belgium #COVID-19 #Denmark #Jerman #Malaysia #pandemik #pembangkang #kerajaan #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Profesor Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah
;