Ahli politik, menteri profesion paling tidak dipercayai rakyat Malaysia - Kajian Ipsos
Umavathi Ramayah
Oktober 15, 2021 14:01 MYT
Oktober 15, 2021 14:01 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli politik dan menteri mempunyai margin kepercayaan terendah dalam kalangan rakyat Malaysia dengan hanya 19 peratus dan 24 peratus penduduk yang menganggap mereka boleh dipercayai.
Perkara itu didedahkan menerusi kajian Trust in Professions yang dijalankan firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) dari 23 April hingga 7 Mei lalu, membabitkan 19,570 responden dari 28 buah negara.
Selain itu, eksekutif pengiklanan pula menduduki tangga ketiga paling rendah dengan 26 peratus.
Malah berdasarkan tinjauan global pula, masyarakat dunia turut mengakui profesion sebagai ahli politik tidak boleh dipercayai dengan nilai kepercayaan antara tiga hingga 19 peratus, di kedudukan paling bawah.
Senarai itu diikuti rapat dengan profesion menteri dengan peratusan kebolehpercayaan antara lima hingga 25 peratus.
Sementara itu, tinjauan yang sama mendapati profesion kedoktoran mendapat nilai kebolehpercayaan tertinggi dengan 68 peratus rakyat Malaysia menganggap mereka boleh dipercayai, guru 65 peratus, ahli sains (57 peratus), angkatan tentera (52 peratus), hakim (49 peratus) , pembaca berita (42 peratus), polis dan peguam masing-masing 40 peratus serta wartawan (32 peratus).
Tahap kepercayaan ke atas profesion kedoktoran barangkali melonjak susulan pandemik yang melanda dunia dimana ia meningkatkan interaksi antara doktor dan orang awam secara langsung.