Ahli politik harus berhenti manipulasi sentimen perkauman - Sivamurugan Pandian

Firdaus Azil
Februari 15, 2021 11:18 MYT
Prof Sivamurugan berkata, rakyat Malaysia perlu melandaikan suhu politik yang seringkali diguna pakai untuk melonjakkan perkauman, perasaan untuk curiga antara satu sama lain atau syak wasangka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Segelintir ahli politik harus berhenti memanipulasi sentimen perkauman, semata-mata untuk meraih sokongan, tegas penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian.
Ahli Pemikir Kementerian Pepaduan Negara (KPN) itu berkata, sokongan yang diperoleh berdasarkan tindakan itu, mampu menjadi wabak yang menggugat perpaduan rakyat negara ini.
Tegasnya lagi, perkara itu telah pun terbukti seperti tragedi Mei 1969, rusuhan kaum Kampung Rawa serta Kampung Medan, yang terus menjadi titik hitam dalam sejarah negara.
"Kita perlu melandaikan suhu politik yang seringkali diguna pakai untuk melonjakkan perkauman, perasaan untuk curiga antara satu sama lain atau syak wasangka. Bukan semua (ahli politik) tapi segelintir yang menganggap ia bertujuan untuk meningkatkan sokongan satu kaum.
"Saya melihat peringatan Tan Sri Muhyiddin itu harus diambil dengan makna besar setiap parti politik dan pemimpin, supaya akhirnya kita melihat dalam usaha untuk meraih sokongan, atau untuk memberikan maksud kepada kedudukan politik tanah air, jangan sama sekali kita besedia untuk mengorbankan apa yang telah dibina,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian apabila mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu melancarkan awal hari ini, yang menyentuh mengenai manipulasi sentimen kaum oleh parti politik.
BACA: Waspada dengan manipulasi sentimen kaum ahli politik - PM Muhyiddin
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, semua pihak juga harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik.
“Ini merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang berbilang kaum. Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030, yang dilakukan secara maya, hari ini.
[TERKINI] Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-20
BACA: PM lancar Dasar Perpaduan dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, manipulasi seperti itu boleh diatasi sekiranya rakyat meningkatkan literasi atau pemahaman mereka mengenai kepentingan perpaduan dalam negara.
“Dalam konteks Semenanjung, kebanyakan isu perpaduan telah dipolitikkan. Bila jadi begini oleh orang tak bertanggungjawab, yang mengutamakan percaturan politik, perpaduan jadi salah satu alat manipulasi untuk kepentingan mereka.
"(Jadi) saya juga mempunyai harapan yang besar supaya semua pihak tidak menenggelamkan nilai kerencaman, nilai keanekaragaman yang sedia ada, kerana itu juga menjadi alat yang paling lengkap melengkapi antara satu sama lain, dan bersifat reciprocal,” katanya lagi.
Analisis | Dasar Perpaduan Negara
#Prof Sivamurugan Pandian #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #politik #sentimen perkauman #Dasar Perpaduan Negara #kementerian perpaduan negara #menteri #perpaduan #Malaysia
;