Ahli politik digesa bina pusat digital di rumah, elak risiko jangkitan COVID-19
Umavathi Ramayah
Januari 20, 2021 13:17 MYT
Januari 20, 2021 13:17 MYT
KUALA LUMPUR : Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam menggesa semua ahli politik termasuk ahli Parlimen supaya membina pusat digital di rumah masing-masing serta mengadakan sidang akhbar secara dalam talian bagi mengurangkan interaksi bersemuka.
Presidennya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang bimbang akan wujud satu lagi kluster membabitkan ahli politik itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah jelas membuktikan sejarah peningkatan jangkitan kes positif di negara ini.
"Kita belajar daripada sejarah, PRN Sabah, pada masa itu hampir semua ahli politik pelbagai peringkat yang mencetuskan kluster baharu yang berpunca daripada interaksi dalam kalangan mereka.
"Kita tengok ahli politik dan pengikut-pengikut mereka, kalau kita tengok secara am, tidak dapat dinafikan mereka juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti bersama masyarakat dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Sehubungan itu, Zainal mengesyorkan ahli-ahli politik mengurangkan interaksi bersemuka dengan mengadakan pusat digital di rumah masing-masing serta mengadakan sidang akhbar secara dalam talian.
Katanya, demi kesejahteraan masyarakat, pemimpin politik akan melakukan kuarantin kendiri meskipun tidak ada sebarang gejala.
"Kami di (Pakar Perubatan) Kesihatan Awam sangat berharap orang politik agar melakukan kuarantin kendiri dan buat kerja dari rumah dengan menggunakan platform digital," tambahnya lagi.
Baru-baru ini beberapa ahli politik termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainuk Abidin; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Saqique adalah antara yang disahkan positif.
Malah sebelum ini Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mencadangkan ahli politik mengadakan sidang media secara dalam talian berbanding secara bersemuka seperti yang diamalkan sekarang.
#kuarantin kendiri
#ahli politik
#COVID-19
#NUJ
#sidang akhbar online
#Pelaksanaan PKP
#positif COVID-19
#penjarakan fizikal