Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam penipuan menyamar rakan
Bernama
Mac 24, 2022 21:16 MYT
Mac 24, 2022 21:16 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesan akaun aplikasi WhatsApp dan Telegram milik ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan golongan kenamaan antara digodam sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang.
Mendedahkan perkara tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata sindiket terbabit akan menggodam aplikasi telefon pintar milik mangsa sebelum mengambil alih akaun tersebut untuk menghubungi rakan mangsa bagi tujuan mendapatkan wang.
Beliau berkata mangsa diarahkan untuk menghantar mesej kata laluan sekali guna (OTP) dan kata laluan aplikasi kepada sindiket bagi membolehkan mereka dapat mengambil alih aplikasi itu dengan mudah.
"Sindiket akan menghantar mesej kepada setiap senarai kenalan dalam telefon bimbit mangsa untuk meminjam wang.
"Mangsa tidak sedar dia menjadi mangsa godam sehinggalah rakan yang menerima mesej memaklumkan ada individu menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata susulan modus operandi itu, pihaknya menerima 1,710 laporan membabitkan kerugian RM11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lepas.
Beliau berkata pengguna telefon pintar dinasihatkan untuk berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali meminta kata laluan yang dihantar ke nombor telefon pengguna.
Sementara itu, JSJK Bukit Aman menerusi pasukan CCID Scam Response Center akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menangani jenayah penipuan dalam talian dengan lebih pantas.
Mohd Kamarudin berkata kerjasama tersebut dapat membantu mempercepatkan tindakan susulan ke atas mangsa penipuan terutamanya mengesan 'money trail' kerana proses sindiket mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain.
"Proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung dan kami menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini," katanya.
Beliau berkata sejak penubuhan CCID Scam Response Center pada Februari tahun lepas, 2,399 panggilan diterima dengan 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah tentang pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long serta 869 panggilan berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.
Katanya, CCID Scam Response Center merupakan sebuah pusat panggilan yang ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK, dan beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Beliau berkata melalui penugasan di CCID Scam Response Center, seramai 969 individu berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.
"Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika menjadi mangsa penipuan atau menerima panggilan yang mencurigakan supaya JSJK dapat membantu kepada proses seterusnya," katanya.
Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
-- BERNAMA