Ahli perniagaan serang pengawal keselamatan gara-gara kenderaan dikunci

Astro Awani
Januari 15, 2017 18:33 MYT
Akibat berang tayar kereta mewahnya dikunci, seorang ahli perniagaan dari Jelutong bertindak memukul pengawal keselamatan. - Gambar hiasan
Akibat berang tayar kereta mewahnya dikunci, seorang ahli perniagaan dari Jelutong bertindak memukul pengawal keselamatan.
Kejadian berlaku di hadapan lobi sebuah kondominium di sini, kira-kira pukul 4 petang Sabtu lepas selepas pihak pengurusan kondominium mengunci tayar kenderaan milik lelaki tersebut yang juga penghuni penempatan itu kerana meletak kereta di petak khas ruang menunggu melebihi had waktu dibenarkan.
Menyedari tayar keretanya dikunci, lelaki tersebut cuba memotong pengunci tayar tersebut dengan alat pemotong besi.
Namun apabila menyedari aksinya dirakam pengawal keselamatan tersebut, ahli perniagaan itu memarahi lelaki berkenaan sebelum didakwa menyerang mangsa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al-Atrash Wahid mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan dibawah Seksyen 324 kanun kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
Menurut Mior Farid, pengawal keselamatan berusia 43 tahun itu cedera di bahagian dahi kiri, tangan kiri dan bengkak di bahagian kanan pinggang akibat dipukul dengan alat pemotong besi berkenaan selain ditendang dan ditumbuk.
Katanya polis telah mengambil keterangan saksi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca kejadian.
Video rakaman pengawal keselamatan tersebut yang berdurasi 40 saat itu mula tular di laman Facebook dan aplikasi Whatsapp sejak pagi Ahad turut mengundang kemarahan netizen.
#Asisten Komisioner Mior Farid Al-Atrash Wahid #CCTV #kereta #kondominium
;