Ahli perniagaan Pas dilantik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Bernama
Mac 9, 2020 16:45 MYT
Pelantikan Mohd Khairuddin, 47, yang bakal menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Facebook
Ahli perniagaan dari parti PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mencipta sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai menteri penuh dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini.
Pelantikan Mohd Khairuddin, 47, yang bakal menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Selain berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus dari 2013 sehingga kini, anak jati Seberang Takir itu turut memegang beberapa jawatan penting dalam parti termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS sejak 2015 sehingga kini.
BACA: Takiyuddin dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri
BACA: Mufti, Ketua Pegawai Eksekutif antara individu dilantik senator
Sebelum aktif dalam dunia politik, Mohd Khairuddin pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1999 sehingga 2002 dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 2002 sehingga 2008.
Beliau yang sering lantang bersuara dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat di Parlimen turut aktif dalam kerja-kerja amal dan kini merupakan pengasas dan pengerusi Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha serta Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Fuqaha di Bangi, Selangor.
Berikut merupakan biografi Mohd Khairuddin:
Nama: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (turut dikenali Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri)
Tarikh lahir: 9 Dis 1973
Asal: Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Pendidikan:
1986: Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin
1992: Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin
1996: Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan dari Universiti Jordan
2000: Sarjana Bahasa Arab dan Kesusasteraan dari Universiti Aal Al-Bayt, Jordan
2001: Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Kerjaya:
1999 - 2002: Pensyarah UIAM
2002 - 2008: Pensyarah UKM
Politik:
Ahli Parlimen Kuala Nerus setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013
Mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Penggal 2015 - 2017
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Penggal 2017- 2019
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Penggal 2019 - 2021
Penglibatan dalam bidang swasta:
Pengasas dan Pengerusi, Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha di Bangi, Selangor
Pengasas dan Pengerusi, Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Fuqaha di Bangi, Selangor
Ahli Lembaga Pengarah, Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Kuala Terengganu.
Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad
-- BERNAMA
#Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali #Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #PAS #pejabat perdana menteri