Ahli perniagaan mati ditembak dekat Plaza Tol Sungai Rasau

Bernama
Jun 15, 2016 23:42 MYT
Seorang ahli perniagaan ditemui mati ditembak dalam kenderaannya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Rasau di sini hari ini.
Seorang ahli perniagaan ditemui mati ditembak dalam kenderaannya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Rasau di sini hari ini.
Mangsa dikenali Gooi Tan Hock, 43, ditemui mati dengan enam kesan tembakan di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dalam kejadian kira-kira 4.35 petang itu, mangsa dipercayai dari arah Klang menuju ke rumahnya di Kajang.
"Mangsa dipercayai mati ditembak ketika sedang memandu kereta Toyota Velfire oleh seorang individu menaiki motosikal sehingga menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke bahu jalan. Lelaki ini dipercayai sempat membayar tol menggunakan kad Touch N Go sebelum kejadian berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, enjin kereta mangsa masih hidup ketika polis menemui mangsa dalam kereta dan siasatan mendapati tiada barangan berharga di dalam keretanya.
Hasil siasatan, katanya menemui 10 kesan tembakan di bahagian luar kereta mangsa manakala enam tembakan di badan mangsa.
Shafien tidak menolak kemungkinan suspek adalah seorang penembak profesional berikutan ketepatan tembakannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Gooi Tan Hock #plaza sungai rasau #tembak
;