Ahli perniagaan lapor polis kes kekecohan libat menteri di KLIA

Sinar Harian
Julai 2, 2023 17:39 MYT
Shariman membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan melibatkan menteri berkenaan di KLIA pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Satu laporan polis dibuat seorang warga tempatan berhubung kekecohan melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.
Berdasarkan laporan polis, pengadu, Shariman Nordin yang merupakan seorang pemilik syarikat berkata, dia membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Main Terminal Building pada jam 4.30 petang Sabtu selepas membaca laporan media berkaitan insiden yang tular di Balai Ketibaan KLIA itu dan penjelasan menteri berkenaan.
“Saya membuat laporan ini atas kepercayaan bahawa menteri berkenaan tidak mempunyai kuasa yang sah pada sisi perundangan untuk melakukan tindakan tersebut sebanyak lima kali.
“Beliau (menteri berkenaan) bersama-sama seorang penjawat awam tanpa kuasa (berkenaan) telah bertindak dalam usaha melepaskan seorang pelancong warganegara China yang ditahan kemasukannya oleh pegawai Jabatan Imigresen di KLIA.

“Saya juga membaca penjelasan menteri terbabit (dalam laporan media) yang turut menuduh pegawai imigresen meminta rasuah daripada pelancong itu dan mengarahkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat siasatan terhadapnya,” katanya. -- Sinar Harian
#kecoh KLIA #laporan polis #Tiong King Sing #Pelancong China
;