Ahli perniagaan dituduh beri maklumat palsu kepada SPRM

Astro Awani
Oktober 28, 2015 23:55 MYT
Mohamad Azhan Hamza (ditutup muka) berjalan masuk ke kamar mahkamah untuk menghadapi pertuduhan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seorang peniaga tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Komersial Kuala Lumpur berhubung kesalahan memberi penyataan palsu kepada siasatan yang dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2014.
Mohamad Azhan Hamza, 31, yang juga seorang broker kereta, dituduh di bawah Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhan didakwa melakukan kesalahan memberi penyataan palsu kepada pegawai SPRM, Mohamad Farid Jabar, dalam penyataan di bawah Seksyen 32(2)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, berhubung satu siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai 2014, antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Mengikut pertuduhan, bagi soalan "berapa biji kereta yang kamu telah jual melalui 'dealer' kereta di TTDI Cars, Melinium Auto di Sentimas Sdn Bhd tersebut", Mohamad Azhan didakwa menjawab "dari tahun 2008 sehingga tahun 2013, lebih kurang 50 biji."
Mohamad Azhan didakwa memberi penyataan palsu berhubung jumlah kereta yang dijual melalui pengedar kereta di TTDI Cars, Melinium Auto dan di Sentimas Sdn Bhd.
Jika sabit kesalahan, Mohamad Azhan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir.
Hakim Norsharidah Awang membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes.
#Mahkamah Sesyen #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;