Ahli perniagaan dilepas, dibebaskan dua pertuduhan rasuah
Bernama
Disember 18, 2024 16:34 MYT
Disember 18, 2024 16:34 MYT
BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, lima tahun lepas.
Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu ke atas Chan Eng Leong, 50, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan suatu keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, oleh itu mahkamah melepaskan dan membebaskan Chan daripada kedua-dua pertuduhan," katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Chan didakwa telah meminta daripada ahli perniagaan Goh Choon Kim suapan US$150,000 sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan kes Goh Kim Heong yang dikatakan sedang disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Vangohh Eminent Hotel, Bukit Mertajam pada 5 petang, antara 30 hingga 31 Mac, 2019.
Bagi pertuduhan kedua, Chan didakwa telah menerima RM615,000 sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan kes Goh Kim Heong di pejabat Global Tobacco Manufactures Sdn Bhd, Bukit Mertajam pada 5 petang, 1 April 2019.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas manakala Chan diwakili peguam RSN Rayer.
-- BERNAMA