Ahli perniagaan didakwa terima deposit pelaburan tanpa lesen sah

Bernama
Julai 25, 2024 14:48 MYT
S. Murugan didakwa menerima wang itu daripada R. Appavoo bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah di sebuah premis di Desa Sri Hartamas, Brickfields pada 12 Ogos 2022. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit RM250,000 daripada seorang pemilik restoran bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah, hampir dua tahun lepas.
S. Murugan, 47, didakwa menerima wang itu daripada R. Appavoo, 37, bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah di sebuah premis di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini pada 12 Ogos 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda hingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hanif Ahijman menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah berjumlah RM8,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik semasa siasatan polis.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #pelaburan #penjara maksimum #siasatan polis