Ahli perniagaan didakwa guna gelaran 'Datuk' palsu

Abd Razak Mohd Ali
Februari 8, 2024 14:00 MYT
Tertuduh ketika diiringi polis bagi berdepan tuduhan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu pada afidavit sokongan yang dikemukakan di mahkamah, dua tahun lalu. -Astro AWANI
IPOH: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu pada afidavit sokongan yang dikemukakan di mahkamah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Chan Chee Seng, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa sebagai orang yang tidak berhak menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan "Datuk" didapati telah dengan sengaja menggunakan gelaran itu pada afidavit sokongan yang dikemukakan kepada mahkamah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Mahkamah Tinggi Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Ipoh pada 17 Januari 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, namun peguam SR Muniandy yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes.
#datuk palsu #ahli perniagaan #Chan Chee Seng #afidavit sokongan
;