Ahli perniagaan berpangkat Datuk didakwa lakukan ugutan jenayah guna pistol

Muhafandi Muhamad
November 9, 2020 13:54 MYT
Tertuduh yang dikenali sebagai Datuk Razali Daud, 63 tahun turut berdepan dakwaan mencederakan seorang wanita, bulan lalu. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol.
Tertuduh yang dikenali sebagai Datuk Razali Daud, 63, turut berdepan dakwaan mencederakan seorang wanita, bulan lalu.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapah Majistret, Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan cara menakutkan seorang mangsa, seorang wanita, dengan menggunakan pistol yang mana ugutan itu boleh menyebabkan kematian atau cedera parah berhampiran pusat jualan kereta di Jalan Long Yunus di sini pada jam 11 pagi, 28 Oktober lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.
Bagi dakwaan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.
#ahli perniagaan berpangkat Datuk #Datuk Razali Daud #ugutan jenayah #ugut guna pistol #Mahkamah Kota Bharu #Kelantan
;