Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa ugut belah kepala, cederakan isteri
Bernama
Januari 25, 2021 15:56 MYT
Januari 25, 2021 15:56 MYT
KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengugut mahu membelah kepala dan mendatangkan kecederaan ke atas isterinya pada 16 Jan lepas.
Tertuduh, Razali Daud, 64, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan pertama, Razali didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan isterinya, Nurhaslinda Anuar, 43, untuk mengambil pisau dan membelah kepala wanita itu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A iaitu hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian, di sini pada 11.30 pagi, 16 Jan.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata dan bibir selepas ditampar serta dihentak ke dinding oleh tertuduh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shahril Ramli menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Adha Amir Yasser Amri yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh mempunyai lima orang anak dan masih menanggung seorang daripadanya yang berusia 14 tahun.
“Anak guam saya juga menanggung ibunya berusia 82 tahun yang sedang sakit dengan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan untuk ‘nursing care’ dan ubat-ubatan. Selain itu, anak guam saya juga mempunyai penyakit tekanan darah tinggi serta kebimbangan melampau (anxiety disorder) dalam dirinya,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 25 Mac ini sebagai sebutan semula kes.
Tertuduh membayar jaminan tersebut.
-- BERNAMA
#ahli perniagaan bergelar Datuk
#jenayah
#Mahkamah Majistret
#ugut mahu belah kepala isteri
#Kota Bharu
#Kelantan