Ahli Parlimen wanita beri sumbangan besar
Astro Awani
Disember 30, 2012 06:53 MYT
Disember 30, 2012 06:53 MYT
Walaupun jumlahnya sekitar 10 peratus, Ahli Parlimen wanita di Malaysia sudah terbukti berupaya memberikan sumbangan besar.
Selain aktif memberi khidmat kepada pengundi mereka juga sering terlibat dalam merangka perbahasan isu-isu nasional serta rang undang-undang baru di parlimen.
ikuti laporan ini yang mengupas cabaran ahli parlimen wanita dalam membahagikan masa antara kerjaya politik dan keluarga.
Pada minggu ini, rancangan Diari Tiga YB menampilkan tiga orang ahli parlimen wanita, Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng, Ahli Parlimen Tenggara Datuk Halimah Sadique dan Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
ketiga-tiga mereka berkongsi pengalaman, cabaran dalam membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga tatkala aktif berpolitik.
Halimah pula mengimbau kembali kenangan semasa anak-anaknya sewaktu kecil yang mahukan beliau berhenti melakukan kerja politik dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Setiap hari saya akan sampai ke rumah pada waktu malam dan kadang-kadang bila saya keluar pagi anak saya belum bangun, saya balik anak saya sudah tidur. Kadang-kadang kita perasan yang kita hanya melihat anak kita itu membesar di atas katil.” ulas Halimah.
Sementara Nurul Izzah pula berkongsi pengalamannya ketika terpaksa membawa bersama anaknya yang masih menyusu semasa berkempen pada satu pilihanraya kecil.
“Pada awalnya saya berpendapat mereka sedikit gusar, anak-anak yang memerlukan ibunya tetapi lama kelamaan mereka sedar bahwa komitmen saya sama adil bukan sahaja kepada pengundi tetapi pada anak dan suami.” jelas Nurul Izzah.
Sementara bagi Ah Eng, beliau mengakui anak-anaknya mempunyai perasaan yang bercampur-campur antara suka dan sedih apabila sedar bahawa masa yang sepatutnya digunakan bersama anak-anak harus turut dikongsikan bersama pengundi.
Episod keempat Diari Tiga YB ini dijadual ditayangkan pada Selasa jam 9,30 malam di Astro Awani.