Ahli Parlimen wajib jalani pemeriksaan kesihatan sebelum 11 Nov

Bernama
Julai 17, 2024 12:49 MYT
Semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya 11 Nov ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya 11 Nov ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Ringkasan AI
  • Semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya 11 Nov ini atau nama mereka akan dipaparkan di laman sesawang Parlimen.
  • Pemeriksaan kesihatan akan dilaksanakan oleh Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia atau di kemudahan swasta, dengan surat mengenai perkara ini telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.
  • Cadangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan Ahli Parlimen yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya.

Beliau berkata Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dipaparkan nama mereka di laman sesawang Parlimen.
"Sehubungan itu, tanpa pengecualian, surat mengenai pemeriksaan kesihatan itu telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat.
"Pemeriksaan kesihatan itu akan dilaksanakan oleh Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia atau di kemudahan swasta," katanya sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan kesihatan yang serupa telah diadakan ke atas semua Ahli Parlimen tahun lepas dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan sekali lagi dipersetujui KKM untuk diadakan tahun ini.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada KKM atas keprihatinan dan kerjasama diberikan.
"Pemeriksaan kesihatan itu sangat membantu dalam mengesan tahap kesihatan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada peringkat awal seterusnya membolehkan langkah pencegahan segera diambil," katanya.
Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sementara itu bangkit mencelah mencadangkan supaya mana-mana Ahli Parlimen yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya.
Johari secara berseloroh berkata beliau akan pastikan perkara itu berlaku dan akan memaklumkan cadangan itu kepada presiden parti politik.
-- BERNAMA
#ahli Parlimen #pemeriksaan kesihatan #November #Dewan Rakyat #Johari Abdul