Ahli Parlimen tidak perlu lagi bahas Ordinan Darurat - Vigneswaran
Bernama
Julai 31, 2021 06:10 MYT
Julai 31, 2021 06:10 MYT
KUALA LUMPUR: Adalah "sangat tidak perlu" bagi Anggota Parlimen membahaskan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat pada hari Isnin ini kerana tempoh Ordinan Darurat itu akan berakhir Ahad, kata bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A.Vigneswaran.
Presiden MIC itu berkata: "... ia akan hanya mensia-siakan masa yang diberikan untuk anggota Parlimen di Parlimen memulakan protokol dan prosedur kearah membangunkan kembali negara ini.
"Persidangan parlimen memberikan peluang kepada negara untuk menyusun semula dan menetapkan hala tuju negara kita, yang malangnya telah terganggu.
"Oleh kerana Ordinan Darurat akan luput pada 1 Ogos dan terbatal, tidak ada keperluan bagi ahli Parlimen menjalani sesi ucapan panjang, semasa ada isu-isu yang lebih penting berkaitan keadaan negara ketika ini perlu ditangani," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Vigneswaran berkata Sidang Khas Parlimen diadakan dengan tujuan utama berbahas mengenai pelan pemulihan COVID-19, dan menetapkan hala tuju bagi menangani isu yang berkaitan dengan pandemik, dan satu ketetapan telah dicapai bahawa tiada usul atau resolusi akan dipertimbankan semasa persidangan.
Dalam perkembangan lain Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin mengeluarkan satu notis malam ini bagi memaklumkan semua ahli Parlimen bahawa hari terakhir persidangan pada Sidang Khas Parlimen pada hari Isnin, ditangguhkan.
Menurut notis itu penangguhan adalah selaras dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berikutan pengesanan jangkitan COVID-19 di Parlimen.
-- BERNAMA
#Mesyuarat Khas Parlimen
#Sidang Parlimen
#Ordinan Darurat
#Proklamasi Darurat
#Vigneswaran
#MIC
#Dewan Negara
#Dewan Rakyat
#COVID-19
#pandemik