Ahli Parlimen Segambut gesa bantuan segera mangsa banjir kilat

Hakim Rahman
April 26, 2022 00:43 MYT
Keadaan di Jalan Sultan Azlan Shah yang dinaiki air selepas hujan lebat di sekitar ibu kota pada Isnin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengesa kerajaan meluluskan segera bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mereka yang terkesan akibat banjir kilat di Lembah Klang pada Isnin.
Katanya, hasil peninjauan beliau di beberapa lokasi banjir menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk dengan kebanyakan kediaman dinaiki air setinggi 2 kaki.
"Memandangkan Hari Raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini telah terjejas dengan teruk, saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mereka yang terkesan," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah malah terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah serta kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.
Mengulas lanjut, Hannah berkata terdapat keperluan mendesak untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur yang semakin kritikal.
"Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta. Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh diguna pakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur," katanya lagi.
Pada Isnin, beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang selama beberapa jam sejak awal tengah hari.
Menurut laporan Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sekurang-kurangnya sebanyak 14 laluan utama di ibu negara dinaiki air.
#banjir kilat #hari raya #Hannah Yeoh #bantuan