Ahli Parlimen sebak kenang tekanan dihadapi pembeli kediaman 'projek sakit'
Fareez Azman
Oktober 25, 2023 18:38 MYT
Oktober 25, 2023 18:38 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan tidak dapat menahan sebak mengenang tekanan yang dihadapi 2,400 pembeli kediaman Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), Residensi Hektar Gombak, yang kini menjadi projek sakit.
Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Zahir sedih mengenangkan kesukaran hidup dihadapi pembeli rumah terbabit yang gagal disiapkan pada waktu dijanjikan iaitu pada Mei tahun lalu.
"Perumahan Residensi Hektar merupakan projek Rumawip di bawah Wilayah Persekutuan. Projek ini (kini) dikategorikan projek sakit.
"Residensi ini mempunyai 2,400 unit dan kelewatan projek ini mengakibatkan para pembeli menghadapi tekanan berterusan... (antaranya) terpaksa membayar sewa rumah dan (pada masa sama) bayar pihak bank (pinjaman perumahan).
"Kelewatan projek perumahan ini diselesaikan juga membawa kepada pelbagai masalah lain (kepada pembeli) termasuk penceraian dalam kalangan pembeli.
"Ada juga yang tak sempat masuk rumah telah meninggal dunia. Jawapan YB Timbalan Menteri pada soalan lisan saya semalam (Selasa, 24 Oktober) telah memberikan cahaya kepada nasib projek ini.
"Berikanlah keadilan sewajarnya kepada pembeli yang terjejas teruk atas kelewatan projek. Dengan bantuan dan sokongan pihak kerajaan kita harap dapat memulihkan dan memberi kelegaan kepada semua yang terlibat," katanya lagi.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menjawab soalan Zahir berkata, jawatankuasa bertindak kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan pemaju, pembeli dan institusi kewangan.
Pendirian kerajaan jelas Akmal, adalah pemaju wajib menyelesaikan atau menyiapkan sebarang kemajuan perumahan.
Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dengan nilai pembangunan kasar RM700 juta.
Unit dengan keluasan 800 kaki persegi dijual pada harga RM266,000, dan RM299,900 (850 kaki persegi).
Projek yang mempunyai lima blok dan dibina atas Tanah Rizab Melayu seluas 7.85 hektar itu sepatutnya siap pada Mei 2022. Namun ia telah ditunda sebanyak dua kali iaitu pada Oktober 2022 dan 19 Mac tahun ini.