Ahli Parlimen rakam penghargaan kepada petugas barisan hadapan

Bernama
Julai 16, 2020 20:33 MYT
Mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan merakamkan ucapan terima kasih kepada "wira-wira negara". - Gambar fail/BERNAMA
Penghargaan terhadap petugas barisan hadapan yang tanpa lelah memerangi COVID-19 menjadi antara tumpuan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tidak kira ahli parlimen kerajaan mahupun di blok pembangkang, mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan merakamkan ucapan terima kasih kepada "wira-wira negara" yang berusaha membendung penularan wabak itu sehingga Malaysia diiktiraf antara lima negara terbaik dunia berjaya mengawal pandemik berkenaan.
Membuka perbahasannya dengan mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hari khas bagi meraikan petugas barisan hadapan, Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) berkata langkah itu adalah bagi mengabadikan segala pengorbanan yang telah dicurahkan mereka yang terlibat.
"Sudah tiba masanya kita mengabadikan pengorbanan mereka (petugas barisan hadapan) dengan pengabadian yang kekal seperti 'Hari Frontliners' atau apa-apa sahaja seperti Dataran Frontliners untuk menghargai mereka yang berkorban nyawa untuk keselamatan kita semua," katanya.
Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) pula berkata kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan pada masa yang tepat serta melaksanakan usaha tegas yang tiada kompromi bagi membendung wabak itu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional dan petugas barisan hadapan yang mengawal COVID-19 sehingga menjadikan Malaysia antara segelintir negara di dunia yang berjaya mengawal penyakit itu," katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata berbanding ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan Perikatan Nasional dilihat lebih fokus untuk menghentikan penularan COVID-19.
Beliau turut meminta kerajaan bertindak tegas mengawal kes import, sama ada rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air mahupun dalam kalangan pelawat asing, memandangkan kes sedemikian antara punca beberapa negara terpaksa melaksanakan semula perintah berkurung walaupun pada mulanya percaya telah dapat mengawal wabak itu.
Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang senada dengan Najib, memuji usaha dan kebijaksanaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menangani penyakit berserta sokongan barisan kabinet dan pegawai kerajaan serta rakyat yang bekerjasama mematuhi arahan kerajaan.
"Terima kasih dan penghargaan kepada Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah), barisan hadapan, doktor, jururawat, petugas hospital, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memastikan apa yang dihadapi negara ditangani bersama, meskipun kerajaan Perikatan Nasional baru sahaja mengambil alih pemerintahan," katanya.
Sesi perbahasan hari ini turut menyentuh isu pendidikan negara dan mendapat perhatian ahli-ahli Dewan Rakyat seperti Steven Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) dan Azizah yang membangkitkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Dalam perbahasannya, Sim mencadangkan kerajaan melaksanakan peralihan drastik pendidikan TVET bersesuaian dengan pasaran pekerjaan yang mengutamakan kepentingan Revolusi Industri (IR) 4.0. kerana pendekatan TVET tidak boleh terhad kepada aliran teknik sahaja.
Azizah pula mencadangkan graduan TVET diberi peluang pekerjaan, terutamanya graduan daripada keluarga B40 bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Turut menjadi tumpuan cadangan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) mengenai Program Latihan Khidmat Negara diperkenalkan semula dengan penambahbaikan melalui penglibatan tentera dan tempoh lebih panjang sehingga setahun bagi melahirkan generasi masa depan yang lebih berani dan berdisiplin.
"Saya lihat negara-negara lain (contohnya) dalam masa 40 tahun sahaja China keluar daripada kepompong kemiskinan. Kita tengok bekas-bekas tentera kita selepas tamat berkhidmat, tetapi gaya, cara mereka membawa diri, cara bertindak dan berfikir berbeza. Akhirnya bukan sahaja dia dan keluarga sahaja berjaya malah dia boleh membangunkan negara," katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.
#Azizah #China #Dewan Rakyat #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #Muhyiddin Yassin #Najib Razak #Noor Hisham Abdullah #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #Polis Diraja Malaysia
;