Ahli Parlimen PH, Bersatu dan Warisan gesa parlimen bersidang selama 2 minggu

Astro Awani
Mei 4, 2020 16:19 MYT
Bagi ahli parlimen PH, Bersatu dan Warisan, tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan. - Gambar fail
Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Bersatu dan Warisan menggesa agar sidang Dewan Rakyat penuh diadakan sekurang-kurangnya dua minggu.
Hujah ahli parlimen PH, Bersatu dan Warisan, persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam, serta membolehkan jemaah menteri melaksanakan agenda legislatif kementerian masing-masing.
Gesaan itu dibuat berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020 yang bermaksud kerajaan mengambil kira wabak COVID-19 semakin terkawal dan beberapa aktiviti boleh dijalankan dengan syarat ia menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Bagi maksud perjalanan sidang Parlimen, SOP ini antara lain termasuk penjarakan sosial, memakai penutup muka, serta melakukan saringan COVID-19 bagi Ahli-Ahli Parlimen.
"Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan, dan memandangkan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan," kata ahli-ahli parlimen PH, Bersatu dan Warisan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata parlimen wajar bersidang sehari pada 18 Mei depan walaupun kebanyakan sektor ekonomi akan dibuka semula 4 Mei.
Takiyuddin berkata susunan kedudukan anggota parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial.
#ahli Parlimen #Bersatu #Dewan Rakyat #Pakatan Harapan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #prosedur operasi standard #sidang #SOP #Warisan
;