Ahli Parlimen perlu sokong Belanjawan 2021 - Pengarah Eksekutif MTE
Bernama
Oktober 26, 2020 04:47 MYT
Oktober 26, 2020 04:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kesemua Ahli Parlimen perlu menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyokong Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen pada 6 Nov ini.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata sokongan tersebut penting kerana Belanjawan 2021 diperlukan dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dan memastikan kelangsungan ekonomi negara secara keseluruhannya.
"Apa yang kita nak sampaikan kepada semua Ahli Parlimen ialah isu politik itu adalah (cuma isu) di antara mereka, tetapi apa pun yang berlaku mereka perlu memastikan bahawa negara mempunyai peruntukan mencukupi.
"Sehingga hari ini, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk melawan COVID-19, dan sekarang ini kita berhadapan dengan gelombang ketiga, jadi saya percaya kita perlu menyediakan peruntukan mencukupi," katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk 'Titah Agong Amanat Dijunjung' yang disiarkan di Bernama TV, malam tadi.
Pada Ahad, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat.
Menurut baginda, Belanjawan 2021 itu amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata semasa gelombang pertama wabak COVID-19, negara telah berjaya mengawalnya malah data ekonomi juga menunjukkan terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi.
Namun, apabila gelombang ketiga berlaku, aktiviti ekonomi negara sekali lagi terkesan, katanya.
"Keadaan ekonomi secara keseluruhan kini memang terjejas dan banyak segmen dalam masyarakat terkesan akibat COVID-19, terdapat kes kehilangan pekerjaan malah ada juga perniagaan terjejas.
"Tanggungjawab (Ahli Parlimen) tetap kepada rakyat, berilah sokongan (pada Belanjawan). Kesejahteraan rakyat merupakan perkara paling penting," katanya.
-- BERNAMA
#ahli Parlimen
#sokong
#Belanjawan 2021
#MTE
#Noor Azlan Ghazali
#COVID-19
#Yang di-Pertuan Agong
#peruntukan
#gelombang ketiga
#pemulihan ekonomi
#ekonomi