Ahli Parlimen pembangkang junjung titah Agong, mahu perbahasan Parlimen disegerakan

Umavathi Ramayah
Mei 18, 2020 15:08 MYT
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, mereka meluahkan kebimbangan disebabkan bantuan menerusi pakej PRIHATIN itu tidak sampai kepada golongan sasaran. - Foto BERNAMA
Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan UPKO menzahirkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli menyampaikan Titah Diraja kepada Majlis Parlimen pagi ini.
"Mengikuti keseluruhan titah Tuanku, pelbagai isu dan perkara disentuh namun ianya berkisar di atas paksi-paksi yang sama: pembelaan nasib rakyat, keperluan politik matang, bersih dan bebas rasuah, serta rasa kasih dan hormat terhadap agama dan kedudukan Raja-Raja Melayu," menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.
Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan UPKO juga berjanji akan memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan dasar-dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama, pelan anti-rasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi di antara wilayah dapat diusahakan sebaik mungkin.
Dalam kenyataan itu lagi, mereka turut menerima baik peringatan baginda bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci, serta keperluan menangani isu polarisasi kaum dan membendung segala bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang.
Selain itu, Ahli Parlimen pembangkang turut menggesa agar sesi perbahasan di Parlimen diadakan dengan segera bagi membincangkan isu ketirisan membabitkan bantuan COVID-19 dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), baru-baru ini.
Mereka turut meluahkan kebimbangan disebabkan bantuan menerusi pakej PRIHATIN itu tidak sampai kepada golongan sasaran.
"Perkara ini amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan kami merasakan ianya perlu dibahaskan seberapa segera," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
#Bersatu #COVID-19 #DAP #Pakatan Harapan #Parlimen #PKR #UPKO #Warisan #Yang di-Pertuan Agong
;