Ahli Parlimen pembangkang cadang kerajaan laksana semula enam bulan moratorium
Bernama
Januari 23, 2021 13:01 MYT
Januari 23, 2021 13:01 MYT
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 25 Ahli Parlimen pembangkang hari ini meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan seperti yang dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas.
Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani 25 Ahli Parlimen itu, inisiatif enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi.
"Dengan cara itu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan serta menggalakkan mereka mengekalkan (pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini," menurut kenyataan itu.
Menurut mereka industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.
Mereka turut mencadangkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM600 setiap pekerja dinaikkan dan diberi kepada individu yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 serta melanjutkannya bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
"Subsidi upah bagi enam bulan menggalakkan majikan tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga pertengahan tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai," menurut kenyataan itu.
Antara Ahli Parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Darell Leiking (Penampang); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Hannah Yeoh (Segambut); Yeo Bee Yin (Bakri); Baru Bian (Selangau); Datuk Rozman Isli (Labuan); dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai).
-- BERNAMA
#Salahuddin Ayub
#PKP
#Ahli Parlimen Pembangkang
#perintah kawalan pergerakan
#pembangkang
#PKS
#perkeso
#ekonomi
#Parlimen
#PERMAI