Ahli Parlimen Pasir Puteh cedera, kereta terbabas di lebuh raya PLUS

Aida Aziz
November 18, 2019 14:04 MYT
Keadaan kereta Mercedes yang dipandu Dr Nik Muhammad Zawawi selepas terbabas di bahu jalan di kilometer 350.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin. - Foto JBPM
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh cedera di bahagian kaki apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di bahu jalan di kilometer 350.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.
Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 1.02 petang.
Katanya pihaknya segera mendapatkan bantuan dari anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi kemalangan, didapati sebuah kereta jenis Mercedez Benz terbabas di bahu jalan.
"Kenderaan itu dinaiki oleh YB Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dikatakan dalam perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur dan mangsa yang berseorangan dalam perjalanan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital Tapah bagi rawatan susulan.
#Ahli Parlimen Pasir Puteh #Bidor #Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh #Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kemalangan #PLUS
;