Ahli Parlimen PAS mohon maaf dakwa PM anti Cina

Astro Awani
Oktober 31, 2013 20:41 MYT
Anggota Parlimen Sepang (PAS), Hanipa Maidin menarik balik dan memohon maaf atas dakwaannya dalam Dewan rakyat yang mengaitkan Perdana Menteri sebagai anti Cina.
Tindakan menarik balik dan momohon maaf itu menyebabkan beliau terlepas daripada dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Beliau menarik balik kenyataan itu susulan notis aduan yang dikemukakan oleh Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mahu Hanipa dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan atas kenyataan tersebut.
"YB Pekan tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum apatah lagi menitis darah kaum Cina. Ini menimbulkan sangkaan jahat kepada YB Pekan," katanya.
Katanya, Hanipa perlu dirujuk ke jawtankuasa kuasa tersebut berdasarkan Peraturan Tetap 36 (6) yang menggariskan bahawa seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada ahli dan dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan.
Ahmad mengemukakan notis tersebut pada hari yang sama, 23 Oktober lalu dan meminta Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan mengenai status aduannya tersebut hari ini.
Dalam penjelasannya di Dewan Rakyat hari ini, Hanipa berkata kenyataannya itu dipetik dari tulisan laman ensiklopedia bebas Wikipedia berhubung penangkapan ramai ahli politik dan aktivis bawah ISA dalam Operasi Lalang 1987.
Ahmad yang tidak berpuas hati dengan jawapan Hanipa kemudiannya mencelah dan membaca petikan hansard parlimen bagi membuktikan bahawa Hanipa benar-benar membuat dakwaan tersebut ke atas Najib.
Hanipa kemudiaanya bangun dan membuat permohonan maaf, "Untuk menyenang hati pihak-pihak (BN), saya tarik balik... Saya mohon maaf (kenyataan itu)," katanya.
Pandikar berpuashati dengan tindakan Hanipa dan menganggap isu itu selesai biarpun beberapa anggota parlimen BN masih tidak berpuashati.
"Saya anggap isu ini selesai, kerana saya berpuas hati dia tarik balik, dia minta maaf," kata Pandikar.
Hanipa pada 23 Oktober lepas, ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang), mendakwa Najib seorang yang rasis ekoran ucapannya semasa Operasi Lalang 1987, yang berbunyi 'Marilah kita titiskan darah Cina dengan keris'.
#Anggota Parlimen Sepang #Hanipa Maidin #Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
;