Ahli Parlimen Nibong Tebal pitam, sidang Dewan Rakyat terhenti sebentar

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 21, 2019 15:44 MYT
Sidang Dewan Rakyat terhenti hampir 15 minit apabila Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2020 hari ini. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Sidang Dewan Rakyat terhenti hampir 15 minit apabila Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2020 hari ini.
Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming segera menghentikan sidang Dewan Rakyat dan meminta pasukan perubatan segera memberi bantu sewajarnya.
Beberapa Ahli Parlimen berdekatan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dan Wong Chen (PH-Subang) termasuk doktor perubatan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) segera memberi bantuan.
Tatkala diberi bantuan, turut kelihatan bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selang beberapa minit, Mansor dilihat mampu berdiri sambil dipapah oleh pasukan perubatan dan dibawa ke Klinik Parlimen.
Selepas beberapa minit menerima bantuan perubatan di Klinik Parlimen, Mansor dibawa oleh pasukan perubatan ke Institut Jantung Negara untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Menurut Dr Wan Azizah, Mansor sudah mula memberikan respon ketika beliau sampai untuk memberi bantuan kepadanya.
"Alhamdulillah dia dah okay, mungkin tekanan darah turun sikit semasa itu, dan dia dah pulih. Alhamdulillah, tapi dia mesti ikut prosedur," kata Wan Azizah, sambil menambah Mansor akan diberi rawatan lanjut di IJN.
"Doktor kata berkemungkinan syncopal attack, bila you bangun, bercakap dan blood pressure turun sikit, lepas tu macam pitam," tambahnya.
#Dewan Rakyat #Kelvin Yii Lee Wuen #Mansor Othman #Nga Kor Ming #Pasca-Belanjawan 2020 #pitam #RUU Belanjawan 2020 #Syed Ibrahim Syed Noh #Wan Azizah Wan Ismail #Wong Chen
;