Ahli Parlimen nafi beri wang sogokan untuk tarik balik laporan kes cabul

Diyana Ibrahim
Oktober 29, 2018 22:36 MYT
Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam insiden cabul melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun menafikan ada memberi wang sogokan kepada keluarga mangsa untuk menarik balik laporan polis. -Gambar hiasan
Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam insiden cabul melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun menafikan ada memberi wang sogokan kepada keluarga mangsa untuk menarik balik laporan polis terhadapnya.
Menurutnya beliau sendiri tidak tahu keluarga mangsa telah bertindak menarik balik laporan tersebut.
“Mereka kata saya sogok, saya tak tahu keluarga mangsa tarik balik laporan polis,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI selain menyifatkan dakwaan remaja tersebut hanyalah satu salah faham.
“Salah faham saja,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd mengesahkan akan meneruskan siasatan terhadap Ahli Parlimen itu walaupun laporan polis telah ditarik balik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
#anggota parlimen #Kanak-kanak #mangsa cabul #Noor Mushar Mohd #Perlis #remaja bawah umur #tarik balik laporan polis
;