Ahli parlimen minta kaji semula SOP pengangkutan udara
Bernama
Julai 22, 2020 18:00 MYT
Julai 22, 2020 18:00 MYT
Ketiadaan penjarakan sosial dalam kalangan penumpang pesawat, menimbulkan kebimbangkan ahli parlimen dari Sarawak yang sering menaiki penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur.
Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) berkata, keadaan itu dibimbangi akan menyebabkan pandemik COVID-19 di negara ini menjadi lebih parah.
Katanya walaupun penjarakan sosial diamalkan di hampir kebanyakan tempat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, namun beliau melihat sendiri bagaimana orang ramai tidak menjaga jarak di dalam pesawat.
"Saya nampak SOP (prosedur operasi standard) ini tidak diamalkan sama sekali dalam pesawat, masuk pesawat berhimpit-himpit, duduk dalam pesawat pergerakan sosial itu tidak ada.
"Saya minta kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan ambil berat akan perkara ini, saya takut ada tanda COVID-19 akan jadi COVID-20, kalau ini berlaku akibatnya parah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.
Kembimbangan yang diluahkan itu, mendapat sokongan daripada Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), dengan memberikan contoh situasi yang berlaku di luar negara seperti China, apabila gelombang kedua pandemik itu melanda setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan.
"Apakah Serian meminta kerajaan meneliti semula keputusan itu, supaya khususnya pengangkutan penerbangan menjarakkan jumlah penumpang itu, sebab AirAsia tiada lagi jarakan sosial, ini membimbangkan kita masa terbang, kita nak balik setiap minggu," katanya ketika bangun mencelah perbahasan.
Sementara itu Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) ketika berbahas mencadangkan, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, berikutan kewujudan banyak kluster COVID-19 baharu di Sarawak, sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata cara pemakaian pelitup muka dengan betul, serta langkah pelupusannya juga perlu disampaikan kepada orang ramai, menerusi media sosial.
Lau turut mencadangkan kerajaan memperuntukkan pelitup muka, peralatan penyukat suhu badan dan cecair pembasmi kuman secukupnya, disetiap sekolah bagi mengurangkan bebanan pihak sekolah dalam menyediakannya.
"Peralatan penyukat suhu badan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang secukupnya perlu diperuntukan kepada semua sekolah secara bekalan agar pihak sekolah sentiasa berada di dalam keadaan selamat," katanya.
Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) pula mengingatkan, kelonggaran SOP yang diberikan masa kini tidak bermakna masyarakat boleh leka terhadap tanggungjawab masing-masing, dalam memastikan kebersihan persekitaran.
Katanya, semua pihak terutama pemimpin masyarakat, ketua komuniti dan warga pendidik, perlu meneruskan usaha sama bagi menggalakkan kelaziman baharu serta meningkatkan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan.
"Utamakanlah kebersihan diri dan komuniti, teruskan jarakan sosial demi kesejahteraan diri dan membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA