Ahli Parlimen mahu kerajaan perkasa langkah tangani banjir

Bernama
Mac 2, 2023 11:54 MYT
Masalah banjir yang kerap melanda negara menarik perhatian Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang untuk tampil memberikan cadangan selain menyoal kerajaan mengenai langkah bagi menangani isu itu. - Gambar fail/JKR
KUALA LUMPUR: Masalah banjir yang kerap melanda negara menarik perhatian Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang untuk tampil memberikan cadangan selain menyoal kerajaan mengenai langkah bagi menangani isu itu.
Pada sesi perbahasan hari keempat Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, mereka antara lain menyentuh isu peruntukan dan jenis bantuan yang sewajarnya disalurkan bagi membantu mangsa banjir.
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mempersoal sejauh mana komitmen kerajaan terhadap projek Rancangan Tebatan Banjir dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi mengurangkan kesan bencana itu khususnya di Kuala Kedah.
Beliau melahirkan kegusaran jika projek tebatan banjir tidak diselesaikan di kawasan itu yang sinonim dengan penanaman padi, ia akan memberi kesan terhadap keterjaminan makanan dan pengeluaran beras negara.
"Justeru, perlu ada pelan kontingensi yang efektif jika berlaku fenomena air pasang yang mendorong limpahan air masuk ke dalam sawah.
"Selain itu, apakah langkah kerajaan untuk mengurangkan risiko limpahan air pasang besar yang sering melanda Kuala Kedah dan implikasi kerosakan yang ditanggung rakyat saban tahun akibat bencana itu perlu ditangani segera," katanya.
Bagi Wong Shu Qi (PH-Kluang), kerajaan perlu melaksanakan tindakan drastik untuk melindungi nyawa dan harta rakyat selain memberikan peruntukan mencukupi khususnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kluang bagi melaksanakan projek mengurangkan risiko banjir.
"Ada kawan tanya saya semalam, kenapa Kluang juga dilanda banjir, bukan Kluang terletak di kawasan hulu sungai. Itulah saya pun tak faham kenapa setiap kali hujan lebat, Kluang dilanda banjir terlebih dahulu.
"Kita mungkin tidak mampu membesarkan sungai kerana pembangunan bandar berlaku di sebelah tebing sungai, rumah kampung juga dibina depan sungai. Justeru, boleh tak kita mendalamkan sungai sedia ada supaya kapasiti hulu sungai ditingkatkan?
"Bagaimanapun, setiap kali saya bincang dengan pegawai JPS daerah, masalah timbul ialah tak cukup wang," katanya.
Turut membangkitkan isu sama ialah Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanya mengenai jumlah peruntukan dan bentuk bantuan yang akan disediakan kerajaan bagi meringankan beban mangsa banjir kali ini.
"Besarlah harapan saya agar kerajaan dapat memberi bantuan seperti tahun lalu yang meliputi semua aspek seperti Bantuan Wang Ihsan, sumbangan pembelian barang keperluan, bantuan baik pulih rumah dan pelbagai diskaun atau rebat," katanya.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula mencadangkan agar kerajaan memberi peruntukan yang adil kepada setiap Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik bagi memudahkan usaha membantu rakyat khususnya apabila berlaku bencana seperti itu.
Terdahulu, dilaporkan jumlah mangsa banjir petang ini terus meningkat dengan 29,091 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membabitkan Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka.
Setakat ini, seramai 86 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu bagi peringkat dasar bermula Isnin selepas Belanjawan 2023 dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Feb lepas.
Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, perbahasan akan berlangsung sehingga 7 Mac ini dan diteruskan dengan sesi penggulungan oleh setiap kementerian.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.
-- BERNAMA
#masalah banjir #ahli Parlimen #Dewan Rakyat #bencana banjir