Ahli Parlimen Liga Al-Quds Palestin bincang cabaran dihadapi umat Islam

Agensi
April 5, 2019 06:18 MYT
Delegasi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM)
Wakil-wakil ahli Parlimen Liga Al-Quds Palestin yang diketuai oleh Sheikh Hamed Al-Ahmar mengakhiri lawatan rasmi rombongan itu ke negara ini dengan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Jumaat.
Antara lain delegasi berkenaan membincangkan peranan ahli Parlimen dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, melindungi Masjid Al-Aqsa dari ancaman rejim Israel yang berterusan dan cara untuk membangkitkan isu Al-Quds dalam perbincangan dan perbahasan di Parlimen.
Delegasi turut berterima kasih kepada perdana menteri , kerajaan dan rakyat Malaysia atas usaha dan keberanian mempertahankan rakyat Palestin dan perjuangan mereka.
Anggota Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan Institusi Antarabangsa Quds turut menyertai delegasi berkenaan bersama menteri-menteri dari beberapa negara lain dalam lawatan yang berlangsung selama tiga hari.
Sepanjang di Malaysia, delegasi itu juga mengambil kesempatan bertemu dengan pemimpin parti UMNO dan Parti Islam Malaysia (Pas).
Beberapa pertemuan itu juga telah diadakan di Parlimen yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin kerajaan dan pemimpin parti pollitik.
Ia termasuk pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
#Al-Quds #Anwar Ibrahim #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #menteri #Mohamad Sabu #Palestin #Parlimen #Parti Keadilan Rakyat #PAS #Perdana Menteri #PKR #Sheikh Hamed Al-Ahmar #Timbalan Perdana Menteri #Tun Mahathir #UMNO #Wan Azizah
;